Islam merupakan suatu istilah yang luas maksudnya di sisi orang Islam. Kehidupan seseorang muslim adalah bergerak di atas garis dan panduan yang ditetapkan di dalam Islam. Garis dan panduan ini merangkumi pelbagai aspek kehidupan seperti cara berfikir, hubungan sesasama manusia dan hubungan dengan Allah SWT.
Islam adalah mudah bagi seseorang muslim yang terbuka hati dan mindanya yang memperakui kebenaran risalah Islam yang telah di bawa oleh junjungan Nabi Muhammad SAW.
Tujuan utama Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW adalah bagi menyelamat umat manusia daripada kesesatan dan kesalahan. Risalah Nabi Muhammad SAW telah tersebar luas ke seluruh dunia bermula semenjak 1430 tahun dahulu.
Risalah tersebut bukanlah asing dan janggal bagi umat manusia kerana Islam merupakan kesinambungan agama Tauhid yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul terdahulu. Perjalanan risalah Tauhid mempunyai sejarah yang panjang dan berkait rapat dengan sejarah manusia sejak zaman Nabi Adam A.S hingga zaman sekarang.
Islam telah menetapkan peraturan-peraturan yang wajib dipatuhi dan sewajarnya diterima dengan hati yang terbuka oleh seseorang muslim melalui hukum syariah yang merangkumi aspek ibadah dan muamalah (perhubungan). Islam juga membawa maksud penyerahan iaitu rela dan terbuka menerima peraturan-peraturan yang ada dalam Islam. Matlamat utama syariah adalah bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan hidup manusia.
Penerimaan Islam dengan hati yang terbuka berkait rapat dengan Iman atau kepercayaan. Iman merupakan asas utama dalam Islam kerana ia berkait rapat dengan hati dan kepercayaan manusia.
Iman dan Islam adalah sesuatu yang saling melengkapi di antara satu sama lain.
bersambung
No comments:
Post a Comment